Sabtu, 15 Januari 2011

UKOM OH UKOM

Assalamualaikum.

Sudah beberapa kali saya ditanya, mengapa sejak kepimpinan baru negeri Terengganu ini, Unit Komunikasi Negeri (UKOM) tidak begitu dekat dengan Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT). Soalan sedemikian sebenarnya telah menyebabkan saya serba salah untuk menjawabnya walaupun saya faham mereka bertanya kepada orang yang betul iaitu saya sebagai Presiden KAWAT.

Memang telah banyak keadaan, UKOM tidak mengundang KAWAT (walaupun yang diundang secara peribadi itu adalah ahli-ahli KAWAT). Peristiwa paling lucu yang saya boleh kongsikan ialah apabila UKOM mengundang media menerima duit raya daripada Menteri Besar Terengganu tahun lalu. Nama saya tidak ada pun dalam senarai UKOM.

Jujurnya, saya tidak kisah sangat bab duit raya itu (kerana selama ini pun saya tidak menerima pemberian seperti itu pun walaupun saya menguruskan pemberian duit raya yang nilainya lebih besar) tetapi apabila nama saya tercicir, maka automatik saya tidak diundang ke majlis bersama MB. Sebagai Presiden KAWAT, saya khuatir bahawa hal itu di luar pengetahuan YAB Datuk Seri dan ketidakhadiran saya akan menyebabkan salah faham yang ketara sedangkan saya tidak pun diundang.

Saya mengirim sms kepada YAB Dato' Seri memaklumkan bahawa saya tidak hadir kerana saya tidak diundang, bukan kerana saya tidak mahu hadir. Beberapa hari selepas itu, pegawai UKOM menyatakan surat untuk saya sebenarnya ada tetapi mereka terlupa nak serahkan. Maka berlakulah hal sedemikian. Lucu sekali.

UKOM juga pernah menganjur Pertandingan Mencipta Blog yang khabarnya mengadakan publisiti di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Saya pernah menawarkan diri kepada Pengarah UKOM untuk KAWAT membantu tetapi mereka diam membisu kerana mungkin di mata mereka KAWAT tidaklah sehebat mana. Saya difahamkan, program promosi yang mereka lakukan hanya mendapat sambutan beberapa kerat manusia sahaja - yang saya lebih rumuskan lebih menghabiskan duit semata-mata. Maaf.

Beberapa hari lepas, UKOM buat program mesra media dengan tokoh undangan ialah Speaker DUN Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang. Sekali lagi, KAWAT tidak dijemput sama. Pagi tadi, saya menerima pertanyaan sama mengapa hal tersebut berlaku.

Saya tidak tahu di mana silapnya. Sudah puas saya selidik, tetapi saya tidak menemui jawapannya. Jika saya boleh membuat andaian, mungkin ia disebabkan faktor-faktor yang bersifat peribadi. Itu mungkin.

Apa pun, jujurnya saya tidak meletakkan hal tersebut sebagai sesuatu yang serius di otak saya. Bagi saya, KAWAT lahir lebih lama dari UKOM dan jika UKOM tidak memerlukan KAWAT, apa saya boleh buat. UKOM lebih mengiktiraf bekas-bekas wartawan yang telah lanjut usia, termasuk bekas wartawan yang menjadi pengkhianat kepada kerajaan BN. Itu yang UKOM iktiraf barangkali.

Untuk rekod, UKOM dilahirkan oleh sekumpulan pemikir media (yang pastinya pemimpin KAWAT dan ahli KAWAT) selepas BN menang semula di Terengganu pada 2004. Sesiapa yang datang selepas itu dan tidak pernah merasai jerit perih perjuangan kekalahan tetapi berada di UKOM, mereka mungkin tidak memahami sumbangan KAWAT terhadap UKOM.

Ruslan Abdul Rahman yang sebelum ini muyuk tetapi sekarang segar semula selepas mendapat kembali jawatan Timbalan Pengarah UKOM sedia maklum akan hal tersebut tetapi pada waktu sekarang, semua itu Ruslan tergamak lupakan. Maka, tidak hairanlah Ruslan sendiri tidak "memandang" KAWAT sekarang ini. Maklumlah, orang sudah mendapat pangkat besar dan selepas ini bolehlah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pula.

Saya tidak berminat mengulas mengenai Hambali Latiff kerana beliau seorang Pegawai Penyelidik Kanan di pejabat MB dan pernah pula memenangi Anugerah Kajai. Maka, tidaklah layak untuk saya mengulas mengenai beliau walaupun saya tahu beliau juga tidak mahu mengiktiraf KAWAT.

Cuma harapan saya, hanyalah kepada Pengarah UKOM yang baharu, Haji Shamsuddin Sulong. Beliau adalah seorang kenalan dan sahabat yang telah lama saya kenali. Saya memahami beliau sebagai seorang yang pernah sama-sama berjuang ketika kita kalah dahulu dan saya fikir, beliau sendiri sedia maklum mengenai peranan serta sumbangan KAWAT dalam hal tersebut.

Saya sangat percaya, Haji Shamsuddin tidak akan mengenepikan KAWAT kerana beliau sendiri lebih memahami mengenai KAWAT. Saya rasa, KAWAT tidak diundang ke majlis yang dianjurkan UKOM mungkin hal tersebut tidak di dalam pengetahuan beliau.

Itulah harapan saya kepada beliau kerana saya sendiri mahu melihat juga ada seperti dulu. Apa yang menjadi punca di UKOM ialah apabila yang bukan pengarah (ada juga yang baru dapat jawatan lebih sikit) telah menjadi lebih pengarah daripada pengarah.

Ibarat lebih sudu dari kuah.

Tahniah Haji Shamsuddin Sulong sebagai Pengarah UKOM. Semoga hubungan ini akan kembali terjalin.

Ahad, 9 Januari 2011

SATU SEJARAH

Assalamualaikum.

Saya tidak pernah percaya kepada keajaiban, kerana ia terlalu jarang datang. Saya lebih suka kepada kebetulan kerana ia sering menjengah.

Hati saya kuat untuk menulis mengenai isu politik, tetapi selepas difikirkan balik, biarlah saya menulisnya kemudian. Saya cuma mahu mencatatkan mengenai kegembiraan Malam Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil 2010 yang berlangsung beberapa hari lalu.

Apa yang menarik, wartawan Harakah, Khairul Azlam Mohamad telah dipilih oleh panel penilai sebagai pemenang pada malam itu. Khairul telah mencatatkan sejarah sebagai wartawan Harakah yang kedua memengani hadiah pada acara berprestij itu selepas Suhaimi.

Saya gembira kerana inilah kebebasan Kawat. Kita tidak terikat dengan politik atau bermain politik. Walaupun ada beberapa orang (yang tak datang pada malam itu) menulis di sebuah laman blog memetik laporan portal pembangkang, namun saya tidak pernah kisah mengenainya.

Cara blog berkenaan memetik laporan yang dimaksudkan, seolah-olah ia mempunyai tujuan yang sinis. Ya, saya adalah seorang penggemar politik. Namun saya tidak menyukai cara politik sempit seperti itu kerana bagi saya, Kawat adalah terbuka.

Saya gembira dengan keadaan tersebut. Khairul adalah seorang ahli Kawat yang sangat penyabar. Beliau juga seorang Exco Kawat yang sentiasa berbincang dengan saya mengenai pelbagai hal untuk kepentingan Kawat. Dia telah menghantar penyertaan setiap tahun sebelum ini tetapi tidak pernah menang. Hebatnya Khairul kerana dia tidak pun pernah merungut apabila tidak menang, tetapi akhirnya dia menang. Alhamdulillah.

Saya menyebut hal ini kerana ada segelintir ahli Kawat yang tidak menang walaupun pertama kali menghantar penyertaan telah membuat pelbagai tanggapan negatif. Bagi saya, wartawan berkenaan sangat tidak profesional.

Apa pun, tahniah kepada Khairul dan saya berharap selepas ini ramai lagi wakil media pembangkang menyertai pencalonan anugerah ini kerana yang dilihat bukan nilai "pembangkang" itu kerana panel tidak kenal pun siapa wartawan dan akhbar manakah yang dia wakili ketika penilaian dibuat.

Semoga ini semua memberikan kelebihan dan kebaikan kepada kita semua.

Tahniah Kawat.

Jumaat, 7 Januari 2011

NILAI KEGEMBIRAAN

Assalamualaikum.

Rasa gembira di hati saya masih kuat terasa di atas kejayaan Malam Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil (AKKEM) yang berlangsung 5 Januari lalu. Perasaan itu terzahir kerana sambutan yang diberikan amat baik dan ahli-ahli pula telah memberikan sokongan yang padu. Sesungguhnya tanpa mereka, AKKEM ini tidak mungkin akan menjadi kenyataan.

Ketika berucap pada majlis itu, saya sebenarnya sebak seketika, ada sesuatu yang terbuku di hati saya - sayu kerana amat gembira di atas sokongan serta kerjasama semua pihak dalam membantu Kawat selama ini. Terasa amat gementar kerana berdiri di hadapan manusia yang selama ini telah memberikan kerjasama dan sokongan yang kuat kepada Kawat.

Ya, memang ada kelemahan serta kekurangan. Ia ada di mana-mana dan saya berharap hal sedemikian akan dapat diatasi dengan sebaik mungkin.

Bekerja dalam masa empat hari bagi menjayakan AKKEM ini adalah sesuatu yang memenatkan tetapi seronok. Saya sedar, ada kalanya saya berselisif pendapat dengan Exco Kawat mengenai beberapa perkara tetapi ia berlaku untuk kebaikan bersama. Saya mengucapkan terima kasih di atas pandangan dan teguran yang diberikan.

AKKEM telah memberikan kekuatan tersendiri kepada ahli Kawat dan masyarakat keseluruhannya. Saya bangga dengan barisan Exco Kawat, gembira dengan ahli-ahli dan berharap kawat akan terus aktif menganjurkan pelbagai program serta aktiviti mereka.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Unit Komunikasi Negeri yang telah membantu serta pihak-pihak yang lain.

Tahniah kepada yang menang...


Isnin, 3 Januari 2011

KAWAT YANG KU SAYANGI

Assalamualaikum...

Beberapa hari ini agak sibuk dengan kerja-kerja persiapan Malam Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil yang akan berlangsung dengan meriahnya pada 5 Januari ini. Walaupun agak kepenatan mengejar waktu yang semakin singkat, rasa seronok di hati kian terasa. Apatah lagi nanti apabila melihat kehadiran kawan-kawan pada malam tersebut.

Apa pun, saya sangat gembira apabila berjaya meneruskan kesinambungan penganjuran acara ini yang memasuki usia 25 tahun. ketika saya mengambil alih jawatan Presiden Kawat, jumlah tajaan hanyalah RM25,000. Hakikatnya, bukan mudah untuk Kawat memperolehi penajaan sehingga RM70,000. Bukan saya berkata saya bagus, tetapi kerana komitmen kita semualah, kejayaan ini berhasil.

Bukan mudah sebenarnya memimpin kelab media seperti Kawat. Banyak cabarannya. Ia sangat menuntut kepada nilai kesabaran yang tinggi. Jika tidak, saya sudah lama kalah. Di hati saya, saya tidak pernah peduli suara sumbangan yang kecil kerana agenda saya ialah untuk melihat Kawat terus utuh dan kekal hebat. Itu sahaja.

Saya gembira sebenarnya apabila sentiasa diberikan sokongan dalam menjayakan pelbagai program Kawat. Dan, semua itu telah memberikan semangat kepada saya untuk terus gigih berusaha. Saya mahu melihat Kawat berjaya dan saya bersedia berkorban apa sahaja demi Kawat. Kawat telah berada bukan sahaja di hati saya, tetapi di dalam darah saya juga. Ia tidak boleh dipisahkan lagi.

Apa pun, saya berharap, akan ada yang sudi mengambil-alih kepimpinan Kawat ini. Itulah harapan saya.

Kepada semua ahli Kawat, datanglah beramai-ramai ke Malam Anugerah Kewartawanan itu nanti. Sama-sama kita meriahkan dengan tema malam kapet merah............... semoga ia meriah.