Ahad, 13 November 2011

APABILA POLITIKUS MENIKUS

Assalamualaikum…

Ramai yang telah memberikan pelbagai reaksi terhadap posting saya yang mengulas mengenai ucapan Setiausaha Politik PM, Dato’ Jailani Ngah pada program Tranformasi Politik di Kuala Terengganu tempohari.

Ada yang memberikan reaksi positif, ada juga yang tidak setuju dengan saya dan ada juga yang cuba memberikan pandangan yang sinis. Itu perkara biasa bagi saya, kerana penulisan mengenai politik tidak akan dinilai secara jujur oleh seorang politikus yang jujur.

Saya tersenyum sakan bila ada juga politikus yang nakal berkata saya sudah dibeli kerana menulis sedemikian rupa. Lantak kamulah apa yang hendak dikatakan tetapi sebagai rakyat, saya berhak bersuara.

Ingat, jika anda ingin melihat seorang politikus yang benar-benar pejuang, lihatlah bagaimana cara dia menikus. Kalau dia cepat melenting terhadap sesuatu isu yang cuba diketengahkan, politikus sedemikian banyak bergantung kepada dahan-dahan nan rimbun. Nyawa politikus itu juga tidak lagi ada di tangan Tuhan – takut yang melampau-lampau dan cara nak menangkis pula mengada-ngada sangat.

Saya menulis atas pendirian sayangkan UMNO, khususnya UMNO Terengganu sebagai parti yang selama ini banyak berjasa kepada saya sejak saya dilahirkan sampailah sekarang. Dan, setiap apa yang saya tuliskan, saya langsung tidak mempunyai apa-apa kepetingan.

Maafkan saya jika sekali lagi saya katakan, saya mempertahankan Dato’ Jai adalah disebabkan saya hadir pada majlis itu dan kerana saya sangat teruja serta menyanjungi anak Terengganu yang dapat bekerja dengan PM. Dato’ Jai adalah seorang anak muda yang saya lihat mempunyai potensi yang bagus dalam politik.

Ketokohan beliau adakalanya jauh menjangkaui apa yang ada di kalangan sesetengah pemimpin UMNO di Terengganu sendiri dan kerana itu, apabila mereka mengenali Dato’ Jai, mereka bimbang.

Apatah lagi bagi mereka yang gila bayang dan mengingau-ngigau mahu menjadi calon dalam PRU ke-13 nanti. Bimbang mereka ini hanya satu. Mereka takut sangat kalau-kalau Dato’ Jai menjadi calon PRU. Itu saja. Peliknya, mengapa sampai takut sampai ke situ sedangkan Dato’ Jai tak ada apa-apa pun.

Saya tidak nampak Dato’ Jai mahu menjadi calon PRU akan datang ini walaupun beliau mempunyai ruang dan peluang yang baik, di saat yang baik pula. Tapi kalau dah rezeki dia jadi calon, kita nak kata apa. Kita nak buat macamana?.

Samalah macam Datuk Seri Ahmad Said. Siapa yang pernah terlintas dia jadi MB tapi dah memang rezeki dia jadi MB, maka jadilah dia MB.

Saya pun, kalau memang rezeki saya jadi MB, kau orang nak cakap apa. Itu memang rezeki saya. Jadi, janganlah kita mengigau terlalu jauh di awan sehingga kita gagal berpijak di bumi yang nyata. Peliknya, ramai lagi yang gila melilau nak jadi calon, tak ada siapa pun yang dengki.

Ini penyakit orang UMNO, penyakit yang jika tidak diubati akan membawa padah kepada parti keramat orang Melayu ini.

Saya bukan bercakap bagi pihak Dato’ Jai tetapi apa yang saya boleh kongsikan, itulah keadaannya.

Cuma saya sangat hairan, mengapa ramai orang sekarang ini seperti “takut” kepada Dato’ Jai, bimbang dengan Dato’ Jai. Dan, walaupun ucapan Dato’ Jai pada program Wacana Tranformasi tempohari sangat baik, berkesan dan jelas mengenai dasar yang diperkenalkan oleh bosnya, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, namun masih ada manusia yang sengaja berpandangan serong terhadap beliau.

Dato’ Jai telah berada di pentas dengan mengangkat bosnya dan saya tidak pernah dengar walau seperti angin, Dato’ Jai mengangkat dirinya. Malah Dato’ Jai telah memberikan pujian kepada YAB Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Negeri.

Begitu juga beliau menghormati Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Dato’ Yahya Khatib Mohamad – satu kenyataan yang jelas bahawa Dato’ Jai pulang ke Terengganu bukan di atas apa-apa kepentingan tetapi demi UMNO dan Barisan Nasional yang bakal berhadapan dengan PRU yang dianggap getir.

Jadi, apabila wujudnya persepsi, maka tidak ada sesiapa pun mampu mempertahankannya. Saya juga tidak terdaya hendak menyekat sebarang persepsi. Itu saja!.

Saya berpandangan, Dato’ Jai adalah pemimpin yang telah diberikan tempat wajar dibanggakan oleh rakyat dan orang politik UMNO Terengganu. Kita semua sepatutnya bangga dan bukan tumpang semangkuk terhadap barua-barua politik yang hanya mahu menangguk di air yang keruh.

Tidak ada apa pun sebenarnya tetapi ia cuba digambarkan dengan keadaan yang tidak sepatutnya. Dan, apabila saya dilihat seperti mempertahankan beliau, saya pula dikatakan macam-macam. Saya peduli apa!.

Kepada yang memuji, terima kasih kerana anda sudi membaca blog saya dan kepada yang tidak bersetuju, ingatlah diri kita siapa dan dari mana asal kita. Jika kita sayangkan UMNO, kita mesti hargai insan yang dilihat mampu memberikan kelebihan kepada UMNO dan bukannya “mengkhenyek” akan dirinya.

Harap maklum.