Sabtu, 15 Januari 2011

UKOM OH UKOM

Assalamualaikum.

Sudah beberapa kali saya ditanya, mengapa sejak kepimpinan baru negeri Terengganu ini, Unit Komunikasi Negeri (UKOM) tidak begitu dekat dengan Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT). Soalan sedemikian sebenarnya telah menyebabkan saya serba salah untuk menjawabnya walaupun saya faham mereka bertanya kepada orang yang betul iaitu saya sebagai Presiden KAWAT.

Memang telah banyak keadaan, UKOM tidak mengundang KAWAT (walaupun yang diundang secara peribadi itu adalah ahli-ahli KAWAT). Peristiwa paling lucu yang saya boleh kongsikan ialah apabila UKOM mengundang media menerima duit raya daripada Menteri Besar Terengganu tahun lalu. Nama saya tidak ada pun dalam senarai UKOM.

Jujurnya, saya tidak kisah sangat bab duit raya itu (kerana selama ini pun saya tidak menerima pemberian seperti itu pun walaupun saya menguruskan pemberian duit raya yang nilainya lebih besar) tetapi apabila nama saya tercicir, maka automatik saya tidak diundang ke majlis bersama MB. Sebagai Presiden KAWAT, saya khuatir bahawa hal itu di luar pengetahuan YAB Datuk Seri dan ketidakhadiran saya akan menyebabkan salah faham yang ketara sedangkan saya tidak pun diundang.

Saya mengirim sms kepada YAB Dato' Seri memaklumkan bahawa saya tidak hadir kerana saya tidak diundang, bukan kerana saya tidak mahu hadir. Beberapa hari selepas itu, pegawai UKOM menyatakan surat untuk saya sebenarnya ada tetapi mereka terlupa nak serahkan. Maka berlakulah hal sedemikian. Lucu sekali.

UKOM juga pernah menganjur Pertandingan Mencipta Blog yang khabarnya mengadakan publisiti di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Saya pernah menawarkan diri kepada Pengarah UKOM untuk KAWAT membantu tetapi mereka diam membisu kerana mungkin di mata mereka KAWAT tidaklah sehebat mana. Saya difahamkan, program promosi yang mereka lakukan hanya mendapat sambutan beberapa kerat manusia sahaja - yang saya lebih rumuskan lebih menghabiskan duit semata-mata. Maaf.

Beberapa hari lepas, UKOM buat program mesra media dengan tokoh undangan ialah Speaker DUN Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang. Sekali lagi, KAWAT tidak dijemput sama. Pagi tadi, saya menerima pertanyaan sama mengapa hal tersebut berlaku.

Saya tidak tahu di mana silapnya. Sudah puas saya selidik, tetapi saya tidak menemui jawapannya. Jika saya boleh membuat andaian, mungkin ia disebabkan faktor-faktor yang bersifat peribadi. Itu mungkin.

Apa pun, jujurnya saya tidak meletakkan hal tersebut sebagai sesuatu yang serius di otak saya. Bagi saya, KAWAT lahir lebih lama dari UKOM dan jika UKOM tidak memerlukan KAWAT, apa saya boleh buat. UKOM lebih mengiktiraf bekas-bekas wartawan yang telah lanjut usia, termasuk bekas wartawan yang menjadi pengkhianat kepada kerajaan BN. Itu yang UKOM iktiraf barangkali.

Untuk rekod, UKOM dilahirkan oleh sekumpulan pemikir media (yang pastinya pemimpin KAWAT dan ahli KAWAT) selepas BN menang semula di Terengganu pada 2004. Sesiapa yang datang selepas itu dan tidak pernah merasai jerit perih perjuangan kekalahan tetapi berada di UKOM, mereka mungkin tidak memahami sumbangan KAWAT terhadap UKOM.

Ruslan Abdul Rahman yang sebelum ini muyuk tetapi sekarang segar semula selepas mendapat kembali jawatan Timbalan Pengarah UKOM sedia maklum akan hal tersebut tetapi pada waktu sekarang, semua itu Ruslan tergamak lupakan. Maka, tidak hairanlah Ruslan sendiri tidak "memandang" KAWAT sekarang ini. Maklumlah, orang sudah mendapat pangkat besar dan selepas ini bolehlah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pula.

Saya tidak berminat mengulas mengenai Hambali Latiff kerana beliau seorang Pegawai Penyelidik Kanan di pejabat MB dan pernah pula memenangi Anugerah Kajai. Maka, tidaklah layak untuk saya mengulas mengenai beliau walaupun saya tahu beliau juga tidak mahu mengiktiraf KAWAT.

Cuma harapan saya, hanyalah kepada Pengarah UKOM yang baharu, Haji Shamsuddin Sulong. Beliau adalah seorang kenalan dan sahabat yang telah lama saya kenali. Saya memahami beliau sebagai seorang yang pernah sama-sama berjuang ketika kita kalah dahulu dan saya fikir, beliau sendiri sedia maklum mengenai peranan serta sumbangan KAWAT dalam hal tersebut.

Saya sangat percaya, Haji Shamsuddin tidak akan mengenepikan KAWAT kerana beliau sendiri lebih memahami mengenai KAWAT. Saya rasa, KAWAT tidak diundang ke majlis yang dianjurkan UKOM mungkin hal tersebut tidak di dalam pengetahuan beliau.

Itulah harapan saya kepada beliau kerana saya sendiri mahu melihat juga ada seperti dulu. Apa yang menjadi punca di UKOM ialah apabila yang bukan pengarah (ada juga yang baru dapat jawatan lebih sikit) telah menjadi lebih pengarah daripada pengarah.

Ibarat lebih sudu dari kuah.

Tahniah Haji Shamsuddin Sulong sebagai Pengarah UKOM. Semoga hubungan ini akan kembali terjalin.