Jumaat, 31 Disember 2010

TAHUN BAHARU, NIK AZIZ DAN SEJARAH

Assalamualaikum.

Ketika saya memulakan entri ini, 2011 baharu sahaja menjengah. Kebetulan saya di bandar ini, bukan riuh dengan bunyi mercun atau bunga api tetapi bingit dengan bunyi enjin motosikal dan suara anak-anak Melayu yang berbasikal kononnya meraikan 2011.

Ah! biarlah. Itu kehidupan mereka. Bolehkah begitu. Walaupun mereka bukan anak atau adik beradik saya, mereka ada pewaris masa depan negara saya. Soalnya, mengapakah setiap kali kita meraikan sesuatu, selain kita umumkan cuti, ramai yang menjadikan jalan raya sebagai tempat melepaskan geram.

Apa nak jadi?. Nak harapkan orang politik?. Oh, janganlah. Tidak kiralah UMNO, Pas atau apa sahaja parti, mereka tidak berani mengambil tindakan anak-anak muda yang sedang berkeliaran secara biadab di jalan raya. Sebabnya, mereka takut orang muda tidak undi mereka.

Oleh itu, kitalah yang kena ambil tanggungjawab ini. Harus ada di hati kita untuk menangani masalah ini walau betapa sulitnya ia. Itu satu bab.

Hal kedua yang sangat menarik perhatian saya malam ini ialah apabila ada komen dihantar dan bertanya saya, siapakah yang lebih alim antara saya dengan nik aziz, MB Kelantan itu. Hal itu berlaku mungkin kerana posting saya dengan di FB.

Orang yang menghantar komen pula tidak berani mendedahkan diri tetapi pandai bertanya. Jawapan saya mudah. Walaupun saya masih jahil (tetapi banyak juga ilmu agama saya ya), tetapi saya masih waras dan tidak tergamak mengubah hukum demi kepentingan diri dan politik.

Ilmu nik aziz bukan tidak bagus tetapi dia telah jadikan ilmunya sebagai alat politik semata-mata dan kerana itu dia tidak berani bercakap benar. Nik Aziz terheret dengan politik murahan apabila setiap yang dia tuduh, dia tak pernah nak buktikan sedangkan apabila kena di batang hidung dia yang tak mancung itu, pandai pula dia minta orang mohon maaf pada dirinya.

Biar pun anda fanatik dengan nik aziz, saya tidak pernah memandang manusia seperti itu sebagai mulia. Jika anda tidak bersetuju dengan saya, maafkan saya.

Nik Aziz adalah ulama politik yang ada kepentingan dunia.

Kepada anda yang sedang asyik meraikan tahun baharu, raikannya dengan akal agar apa yang kita raikan mempunyai nilai. Apabila kita menulis atau berkata sesuatu dengan banyaknya, itu bukanlah bermaksud kita ini pandai. Namun, sekurang-kurang biarlah apa yang kita lontarkan boleh difikirkan bersama.

Tahun baharu akan lebih bermakna bagi anda yang bijak menghargai waktu. Sepatutnya kita tidak bangga dengan waktu yang terlalu cepat berlalu. Mengapa kita harus berbangga sangat dengan itu. Pelik saya.

kepada anda, belajarlah daripada sejarah yang telah kita tinggalkan walaupun ia masih sesaat atau sedetik. Mungkin itu yang lebih baik bagi kita.

Selamat tahun baharu.

Rabu, 29 Disember 2010

CATATAN AKHIR TAHUN



Assalamualaikum.

Dalam diam, kita sudah di penghujung 2010. Biarpun detik jam tidak pernah cepat atau lewat sejak dahulu lagi, namun terasa benar pantasnya waktu berputar. Demikianlah antara keajaiban kejadian Allah. Sungguh menakjubkan.

Rata-rata hari ini, semua orang sudah mula memasang azam baru. Maklumlah, tahun baru, maka azam pun baru. Ramai yang menanam azam, namun tidak ramai yang kekal ingat terhadap azamnya. Ada juga yang kalah dengan azam yang diciptakan sendiri. Itu lumrah kehidupan sebenarnya. Anda bagaimana?.

Sayalah, saya tidak pernah mencipta azam kerana kemahuan saya ada sepanjang masa. Ada waktunya saya berjaya mencapai atau memiliki apa yang saya ingin, dan ada juga yang saya kecewa serta gagal. 2011 pun sama, saya tidak akan menanam azam kerana sememangnya itulah saya.

Jika ditanya juga apa yang saya mahukan pada 2011. Saya mahu menyemak semula kehidupan saya, merenung jauh dan memperbetulkan setiap kesilapan serta kelemahan. Saya mahu jadi yang terbaik sekurang-kurangnya pada diri saya, walaupun mungkin tidak untuk orang lain. Waktu yang pantas berlari itu kadangkala membuatkan kita lupa pada sejarah yang kita tinggalkan. Kita kadangkala seolah-olah lupa apa yang sepatutnya kita capai atau miliki. Percayalah, banyak yang kita tinggalkan dan tertinggal dalam hidup ini.

Mungkin kita merasakan kita sudah terbaik. Namun, jika kita merenung semula kehidupan ini, ada banyak pembetulan yang masih perlu kita lakukan. Berani?. Orang yang takut untuk berubah, hidupnya tidak akan ke mana-mana. Apa pun yang dilakukan, ia tidak boleh mengubah apa-apa.

Keberanian sebenar manusia terletak kepada keupayaannya mengubah sikapnya sendiri. Jika kita takut berubah, hidup kita sebenarnya jauh lebih gagal walaupun kita memiliki apa yang kita inginkan.

Saya benar-benar berharap untuk memiliki keberanian itu. Saya mahu buktikannya. Itu yang ada di hati saya.

Mudah-mudahan 2011 akan menjadi saya sebagai orang yang terbaik. Biar apa pun dikatakan orang, hanya keberanian yang mencerminkan kebijaksanaan. Kita akan lebih bertuah sebenarnya jika kita berubah untuk kebaikan diri sendiri, bukannya orang lain.

Semoga, saya berjaya.

Jumaat, 24 Disember 2010

NILAI GAMBAR

Assalamualaikum semua.

Alhamdulillah hari ini semakin sihat dan segar sedikit. Badan pun dah banyak berpeluh - tanda-tanda mahu sihat sepenuhnya.

Pagi ini, saya sempat membelek buku biografi Seri Paduka Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang dihadiahkan Jabatan Penerangan Negeri Terengganu ketika saya diundang menjadi moderator Forum Gagasan 1Malaysia dua minggu lalu. Menarik buku itu, dengan foto-foto yang sangat ekskluif.

Tiba-tiba sahaja saya teringatkan gambar-gambar lama saya sendiri dan saya pun segera mendapatkannya di almari yang telah disimpan rapi. Satu persatu saya melihat foto saya, merenungnya dalam-dalam. Kadangkala saya tersenyum, ada ketikanya ia mengedutkan dahi saya.

Itulah sebahagian daripada bukti sejarah hidup saya, yang pernah saya lalui. Terfikir panjang diri saya melihatkan semua foto tersebut. Rupanya, saya telah meninggalkan banyak perkara dalam hidup ini. Saya meninggalkan watak-watak saya yang dahulunya yang mungkin seperti anak kecil tetapi ada yang lebih baik daripada watak sekarang ini.

Saya telah melakarkan banyak kegembiraan rupanya, tetapi mengapa saya harus melayan kesedihan?. Ah!, rupanya dulu saya ini pemalu. Tersenyum sendirian saya memikirkan hal itu.

Saya merakamkan di saat kehidupan ini agak susah, mendaki dengan segala kepayahan untuk membina kelebihan. Saya bersyukur kerana saya mencapai apa yang saya inginkan tetapi saya sedih dengan watak yang saya tinggalkan.

Benar kata orang, ada kalanya orang mahukan kita yang dulu, bukan sekarang. maksudnya, di saat keadaan memerlukan, kita akan terus berkata sedemikian. Jika saya merenung, kata-kata itu ada benarnya.

Jauh di hati kecil saya, saya harus sentiasa melihat sejarah hidup saya. Saya perlu teliti dalam mengatur kehidupan yang seterusnya. Saya telah melalui perjalanan hidup yang pahit dan manis. Ia harus menjadi sesuatu yang penting dan wajar untuk saya ingati.

Terharu saya melihat wajah-wajah ketika di bangku sekolah. melihat Aminuddin yang selalu saya berikan duit belanja tengahari. kelihatan kelibat Hartini yang sentiasa meminjam buku-buku saya. Kenakalan Amelia Sabrina yang gempal juga mengingatkan banyak perkara kerana ayahnya bernama AYOB sehingga saya sering diusik kawan-kawan.

Fakhrurazzi, anak ustaz yang saya kagumi yang pernah bercinta dengan murid di belakang meja kami. Dan, ramai lagilah yang ada di dalam foto ini. Ia mengingatkan kepada peristiwa yang penting sebenarnya. Aku bersyukur, sekurang-kurangnya kerana pernah mempunyai sahabat yang baik seperti mereka.

Apa pun, saya telah mencipta dan meninggalkan sejarah. Sejarah tidak mungkin dapat membohongi sesiapa. Saya cuma berazam untuk kadangkala berada seperti dulu, memiliki watak yang dulu...

Saya sedar, setiap peristiwa adalah kita dan foto itu telah membentuk hidup kita yang tidak mungkin akan kita lupakan.

Maafkan saya jika anda tidak faham apa yang saya tulis kerana saya sendiri menulis dalam keadaan saya juga kurang faham mengenainya.

Terima kasih.


AKU HANYA DEMAM DAAA ...

Seronok apabila terlantar ada yang menziarah, apatah lagi bagi duit. hahahahaha - gambar hiasan.

Assalamualaikum semua.

Semoga rakan-rakan berada dalam kesihatan yang baik jua. Ketika keadaan cuaca yang tidak menentu, bukan mudah untuk kita mempertahankan kesihatan diri, apatah musim orang demam makin menjadi-jadi.

Sejak beberapa hari yang lalu, saya berada di ruang kamar ini - sendirian - makan ubat, tidur dan terus berehat. Semuanya kerana saya mengalami demam yang agak teruk, selsema dan pening kepala. Maklumlah, sudah agak lama saya tidak sakit begini, maka bagus juga menerima ujian ini.

Saya sengaja tidak memberitahu teman-teman, apatah lagi di FB pun saya tidak berkesempatan kerana saya tidak boleh bergerak dengan selesa. Jika ada yang bertanya, saya katakan saya hanya berehat di rumah.

Ada beberapa hal yang agak melucukan sebenarnya. pertama, saya menerima sms daripada seorang rakan wartawan dan bertanya, betulkah saya sekarang sedang sakit kerana demam denggi?. Entah dari mana cerita itu dia dengar, saya pun tak tahu. Ada juga yang mendakwa kononnya saya sakit sebab saya pernah kata kepada orang itu sebagai penipu (yang sebetulnya, orang itu memang penipu besar pun). macam-macamlah.

Sebenarnya, saya telah demam sejak minggu lalu tetapi disebabkan kesibukan jadual saya, saya bertahan dengan makan ubat biasa sahaja. Alhamdulillah pada waktu itu saya masih bertahan dan dapat menyertai beberapa acara termasuk kejohanan badmonton antara media dan malam media bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). saya juga sibuk dengan kerja-kerja KAWAT bagi menjayakan Malam Anugerah Kewartawanan KAWAT-ExxonMobil tidak lama lagi.

Bagaimanapun disebabkan cuaca yang tidak menentu, saya terus demam dan selsema. Saya menerima rawatan yang baik di sini, diberikan ubat sewajarnya. Alhamdulillah, saya semakin pulih dan sekarang saya sudah boleh membaca buku-buku yang saya belikan di Medan, Indonesia tempohari.

Apa yang pasti, saya demam kerana cuaca dan apa jua dakwaan yang lain adalah mengarut. Sesekali terfikir, itu saya belum jadi ahli politik, orang dah buat pelbagai andaian. Kalau tak, apa lagi yang akan mereka sebarkan.

Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua terutama sahabat FB yang memberikan dorongan serta semangat kepada saya. Anda semua, tanpa mengira sesiapa pun adalah kekuatan saya.

Terima kasih semua. Jumpa lagi.

Jumaat, 3 Disember 2010

KEMBALI MENULIS



Assalamualaikum,

Petang ini, ketika saya melayari internet, saya membuka sebuah laman blog seorang kawan. menarik juga laman blognya. Tulisannya terlalu peribadi, mencatatkan mengenai kehidupan dan perasaannya. Baguslah. Sekurang-kurangnya ada juga tempat manusia meluahkan perasaannya.

Hasil daripada itu, saya tiba-tiba teringatkan laman blog saya yang sudah lama saya tidak catatkan. Lantas, saya membukanya. Rugi benar, bisik hati saya kerana tidak membuka blog sendiri. Jujurnya, FB telah menguasai saya sehingga saya terlupa sejak sekian lama untuk menulis di laman blog saya.

Saya membacanya semula tulisan-tulisan saya. Ya, ya banyak bergantung kepada hal-hal yang bersifat peribadi saya sendiri. Ada juga hal-hal yang saya usik kawan-kawan.

Selepas berfikir, saya padamkan semua tulisan-tulisan saya yang lama itu. hari ini saya bertekad untuk aktif menulis di laman blog ini. Mulai hari ini, saya akan menulis mengenai isu-isu semasa, dan kadangkala mungkin hal-hal lain yang saya fikir perlu.

Banyak sebenarnya yang ingin saya catatkan. Namun banyak juga hal yang harus saya jaga agar tidak ada yang tersinggung atau berkecil hati. Jika orang melampau sangat, saya tidak teragak-agak untuk menulis atau mendedahkan sesuatu di laman blog saya ini. Saya peduli apa!.

Melihatkan kepada jumlah penjengok blok saya ini, ternyata masih ramai yang ingin membacanya. Terima kasih kepada kawan saya itu kerana dialah saya menulis kembali.

Kita jumpa lagi nanti ya...