Jumaat, 24 Disember 2010

AKU HANYA DEMAM DAAA ...

Seronok apabila terlantar ada yang menziarah, apatah lagi bagi duit. hahahahaha - gambar hiasan.

Assalamualaikum semua.

Semoga rakan-rakan berada dalam kesihatan yang baik jua. Ketika keadaan cuaca yang tidak menentu, bukan mudah untuk kita mempertahankan kesihatan diri, apatah musim orang demam makin menjadi-jadi.

Sejak beberapa hari yang lalu, saya berada di ruang kamar ini - sendirian - makan ubat, tidur dan terus berehat. Semuanya kerana saya mengalami demam yang agak teruk, selsema dan pening kepala. Maklumlah, sudah agak lama saya tidak sakit begini, maka bagus juga menerima ujian ini.

Saya sengaja tidak memberitahu teman-teman, apatah lagi di FB pun saya tidak berkesempatan kerana saya tidak boleh bergerak dengan selesa. Jika ada yang bertanya, saya katakan saya hanya berehat di rumah.

Ada beberapa hal yang agak melucukan sebenarnya. pertama, saya menerima sms daripada seorang rakan wartawan dan bertanya, betulkah saya sekarang sedang sakit kerana demam denggi?. Entah dari mana cerita itu dia dengar, saya pun tak tahu. Ada juga yang mendakwa kononnya saya sakit sebab saya pernah kata kepada orang itu sebagai penipu (yang sebetulnya, orang itu memang penipu besar pun). macam-macamlah.

Sebenarnya, saya telah demam sejak minggu lalu tetapi disebabkan kesibukan jadual saya, saya bertahan dengan makan ubat biasa sahaja. Alhamdulillah pada waktu itu saya masih bertahan dan dapat menyertai beberapa acara termasuk kejohanan badmonton antara media dan malam media bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). saya juga sibuk dengan kerja-kerja KAWAT bagi menjayakan Malam Anugerah Kewartawanan KAWAT-ExxonMobil tidak lama lagi.

Bagaimanapun disebabkan cuaca yang tidak menentu, saya terus demam dan selsema. Saya menerima rawatan yang baik di sini, diberikan ubat sewajarnya. Alhamdulillah, saya semakin pulih dan sekarang saya sudah boleh membaca buku-buku yang saya belikan di Medan, Indonesia tempohari.

Apa yang pasti, saya demam kerana cuaca dan apa jua dakwaan yang lain adalah mengarut. Sesekali terfikir, itu saya belum jadi ahli politik, orang dah buat pelbagai andaian. Kalau tak, apa lagi yang akan mereka sebarkan.

Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua terutama sahabat FB yang memberikan dorongan serta semangat kepada saya. Anda semua, tanpa mengira sesiapa pun adalah kekuatan saya.

Terima kasih semua. Jumpa lagi.

Tiada ulasan: