Jumaat, 30 Mac 2012

ACARA SANTAI BERSAMA PETRONAS

Bersama Naib Presiden Petronas, Datuk Medan.

Bloger diraikan dalam jamuan hi-tea di Hotel Impiana, Kuala Lumpur

Saya mengambil peluang bergambar di Menara Berkembar Petronas bersama Bloger Hambali Latif dan Pegawai Petronas, Faizal.

Assalamualaikum.

Tanggal 27 Mac lalu, Petronas telah mengundang beberapa penulis blog (blogger) dari Pantai Timur dan beberapa teman blogger lagi dari Kuala Lumpur.

Apa yang saya faham, Petronas menganjurkan program sedemikian adalah bagi mendekatkan syarikat petroleum gergasi itu dengan penulis blog - satu pengiktirafan terhadap penulis blog di negara ini. Saya percaya, acara pertemuan itu walaupun agak santai, tetapi matlamatnya tercapai - sekurang-kurangnya pegawai kanan Petronas dalam mengenali bloger yang ada di Pantai Timur dan pada masa yang sama, mereka akan lebih dekat dengan penulis blog ini.

Jarang sebenarnya, sebuah syarikat, apabila membelanjakan tiket penerbangan pergi-balik dan kemudahan hotel yang mahal tidak menuntut apa-apa daripada mereka yang diraikan itu. Dalam konteks kewartawanan (berdasarkan pengalaman saya selama 20 tahun lebih), selalunya, apabila berlaku acara sedemikian, maka mereka diminta (atau diharapkan) menulis mengenai mereka.

Namun, dalam konteks acara Petronas bersama bloger ini, ia tidak berlaku begitu. Hari pertama saya dan beberapa peserta lain tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, kami disambut oleh kakitangan Petronas.

Setibanya di hotel penginapan iaitu Hotel Impian, di tengah-tengah kota Kuala Lumpur (Di tengah-tengah kawasan segi tiga emas negara), kami disambut lagi dan diraikan oleh Pegawai Petronas. Kadangkala, terdetik di hati saya, Petrona sini mahukan apa dari kami di sebalik program ini.

Sebelah petang, kami dibawa melawat menara KLCC setinggi 88 tingkat itu. Ia cukup teruja dan saya bertanya kepada pegawai Petronas yang mengiringi kami (Faizal), apakah lagi acara selepas itu.

Faizal menjawab, minum petang dan santai bersama Naib Presiden Petronas, Datuk Medan. Saya masih mencari jawapan di sebalik persoalan yang bermain di fikiran saya. Saya belum temuinya.

Sebelah petang, kami diraikan dalam jamuan minum petang. Dan, selepas hampir dua jam pertemuan itu, baharulah saya faham bahawa Petronas hanya mahu mengenai kami dan mendekatkan diri dengan kami. Hanya itu.

Apa yang sangat berkesan bagi saya melalui program sedemikian ialah Petronas benar-benar berjaya mewujudkan satu hubungan yang sangat baik. Ini kerana, ia berlaku dalam keadaan santai, tidak formal dan kami dapat berbual mengenai apa sahaja perkara dan ia dikongsikan dengan sangat terbuka bersama rakan-rakan dari bloger serta Petronas.

Saya gembira sebenarnya, ia telah menjadi detik pengalaman dan kenangan yang berguna buat saya. Sehingga sekarang, rakan-rakan bloger masih berbicara mengenai acara itu.

Terima kasih Petronas.

Isnin, 20 Februari 2012

AKU MENULIS BUKAN KERANA NAMA

Assalamualaikum.

Agak lama saya mengambil masa untuk sambung menulis di blog saya. Maklumlah, menulis memerlukan mood. Jika mood tidak datang, keinginan untuk menulis menjadi sangat sulit. Apa pun, saya banyak berinteraksi dengan rakan-rakan di laman sosial Facebook. Tak apalah, sama sahaja di mana pun, asalkan kita menulis.

Ramai yang memberi dorongan agar saya terus menulis di blog ini, mengupas isu-isu dengan lebih berani dan ke hadapan. Bagi saya, keberanian dalam menulis (terutama dalam isu-isu politik), kita tidak boleh terlalu melulu. Jauh sekali agar kita memenuhi nafsu orang lain dengan menggunakan tulisan kita. Apa yang seseorang penulis itu tulis, dialah yang menanggungnya.

Bagi saya, saya tidak menulis bagi pihak orang lain. Saya menulis apa yang fikir saya boleh menulis dan apa yang saya percaya ia adalah benar pada pandangan dan tafsiran saya.

Saya menulis bukan kerana mengejar apa-apa. Saya menulis kerana saya fikir saya bertanggungjawab menulis mengenai apa yang saya fikir wajar saya tulis.

Saya gembira kerana anda masih sudi membaca tulisan saya. Saya bukanlah seorang penulis yang hebat seperti penulis-penulis yang lain.

Terima kasih kepada anda semua. Saya akan terus menulis dan mulai malam ini, blog saya akan aktif kembali.

Terima kasih.