Ahad, 9 Januari 2011

SATU SEJARAH

Assalamualaikum.

Saya tidak pernah percaya kepada keajaiban, kerana ia terlalu jarang datang. Saya lebih suka kepada kebetulan kerana ia sering menjengah.

Hati saya kuat untuk menulis mengenai isu politik, tetapi selepas difikirkan balik, biarlah saya menulisnya kemudian. Saya cuma mahu mencatatkan mengenai kegembiraan Malam Anugerah Kewartawanan Kawat-ExxonMobil 2010 yang berlangsung beberapa hari lalu.

Apa yang menarik, wartawan Harakah, Khairul Azlam Mohamad telah dipilih oleh panel penilai sebagai pemenang pada malam itu. Khairul telah mencatatkan sejarah sebagai wartawan Harakah yang kedua memengani hadiah pada acara berprestij itu selepas Suhaimi.

Saya gembira kerana inilah kebebasan Kawat. Kita tidak terikat dengan politik atau bermain politik. Walaupun ada beberapa orang (yang tak datang pada malam itu) menulis di sebuah laman blog memetik laporan portal pembangkang, namun saya tidak pernah kisah mengenainya.

Cara blog berkenaan memetik laporan yang dimaksudkan, seolah-olah ia mempunyai tujuan yang sinis. Ya, saya adalah seorang penggemar politik. Namun saya tidak menyukai cara politik sempit seperti itu kerana bagi saya, Kawat adalah terbuka.

Saya gembira dengan keadaan tersebut. Khairul adalah seorang ahli Kawat yang sangat penyabar. Beliau juga seorang Exco Kawat yang sentiasa berbincang dengan saya mengenai pelbagai hal untuk kepentingan Kawat. Dia telah menghantar penyertaan setiap tahun sebelum ini tetapi tidak pernah menang. Hebatnya Khairul kerana dia tidak pun pernah merungut apabila tidak menang, tetapi akhirnya dia menang. Alhamdulillah.

Saya menyebut hal ini kerana ada segelintir ahli Kawat yang tidak menang walaupun pertama kali menghantar penyertaan telah membuat pelbagai tanggapan negatif. Bagi saya, wartawan berkenaan sangat tidak profesional.

Apa pun, tahniah kepada Khairul dan saya berharap selepas ini ramai lagi wakil media pembangkang menyertai pencalonan anugerah ini kerana yang dilihat bukan nilai "pembangkang" itu kerana panel tidak kenal pun siapa wartawan dan akhbar manakah yang dia wakili ketika penilaian dibuat.

Semoga ini semua memberikan kelebihan dan kebaikan kepada kita semua.

Tahniah Kawat.