Jumaat, 24 Disember 2010

NILAI GAMBAR

Assalamualaikum semua.

Alhamdulillah hari ini semakin sihat dan segar sedikit. Badan pun dah banyak berpeluh - tanda-tanda mahu sihat sepenuhnya.

Pagi ini, saya sempat membelek buku biografi Seri Paduka Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang dihadiahkan Jabatan Penerangan Negeri Terengganu ketika saya diundang menjadi moderator Forum Gagasan 1Malaysia dua minggu lalu. Menarik buku itu, dengan foto-foto yang sangat ekskluif.

Tiba-tiba sahaja saya teringatkan gambar-gambar lama saya sendiri dan saya pun segera mendapatkannya di almari yang telah disimpan rapi. Satu persatu saya melihat foto saya, merenungnya dalam-dalam. Kadangkala saya tersenyum, ada ketikanya ia mengedutkan dahi saya.

Itulah sebahagian daripada bukti sejarah hidup saya, yang pernah saya lalui. Terfikir panjang diri saya melihatkan semua foto tersebut. Rupanya, saya telah meninggalkan banyak perkara dalam hidup ini. Saya meninggalkan watak-watak saya yang dahulunya yang mungkin seperti anak kecil tetapi ada yang lebih baik daripada watak sekarang ini.

Saya telah melakarkan banyak kegembiraan rupanya, tetapi mengapa saya harus melayan kesedihan?. Ah!, rupanya dulu saya ini pemalu. Tersenyum sendirian saya memikirkan hal itu.

Saya merakamkan di saat kehidupan ini agak susah, mendaki dengan segala kepayahan untuk membina kelebihan. Saya bersyukur kerana saya mencapai apa yang saya inginkan tetapi saya sedih dengan watak yang saya tinggalkan.

Benar kata orang, ada kalanya orang mahukan kita yang dulu, bukan sekarang. maksudnya, di saat keadaan memerlukan, kita akan terus berkata sedemikian. Jika saya merenung, kata-kata itu ada benarnya.

Jauh di hati kecil saya, saya harus sentiasa melihat sejarah hidup saya. Saya perlu teliti dalam mengatur kehidupan yang seterusnya. Saya telah melalui perjalanan hidup yang pahit dan manis. Ia harus menjadi sesuatu yang penting dan wajar untuk saya ingati.

Terharu saya melihat wajah-wajah ketika di bangku sekolah. melihat Aminuddin yang selalu saya berikan duit belanja tengahari. kelihatan kelibat Hartini yang sentiasa meminjam buku-buku saya. Kenakalan Amelia Sabrina yang gempal juga mengingatkan banyak perkara kerana ayahnya bernama AYOB sehingga saya sering diusik kawan-kawan.

Fakhrurazzi, anak ustaz yang saya kagumi yang pernah bercinta dengan murid di belakang meja kami. Dan, ramai lagilah yang ada di dalam foto ini. Ia mengingatkan kepada peristiwa yang penting sebenarnya. Aku bersyukur, sekurang-kurangnya kerana pernah mempunyai sahabat yang baik seperti mereka.

Apa pun, saya telah mencipta dan meninggalkan sejarah. Sejarah tidak mungkin dapat membohongi sesiapa. Saya cuma berazam untuk kadangkala berada seperti dulu, memiliki watak yang dulu...

Saya sedar, setiap peristiwa adalah kita dan foto itu telah membentuk hidup kita yang tidak mungkin akan kita lupakan.

Maafkan saya jika anda tidak faham apa yang saya tulis kerana saya sendiri menulis dalam keadaan saya juga kurang faham mengenainya.

Terima kasih.


Tiada ulasan: