Rabu, 29 Disember 2010

CATATAN AKHIR TAHUN



Assalamualaikum.

Dalam diam, kita sudah di penghujung 2010. Biarpun detik jam tidak pernah cepat atau lewat sejak dahulu lagi, namun terasa benar pantasnya waktu berputar. Demikianlah antara keajaiban kejadian Allah. Sungguh menakjubkan.

Rata-rata hari ini, semua orang sudah mula memasang azam baru. Maklumlah, tahun baru, maka azam pun baru. Ramai yang menanam azam, namun tidak ramai yang kekal ingat terhadap azamnya. Ada juga yang kalah dengan azam yang diciptakan sendiri. Itu lumrah kehidupan sebenarnya. Anda bagaimana?.

Sayalah, saya tidak pernah mencipta azam kerana kemahuan saya ada sepanjang masa. Ada waktunya saya berjaya mencapai atau memiliki apa yang saya ingin, dan ada juga yang saya kecewa serta gagal. 2011 pun sama, saya tidak akan menanam azam kerana sememangnya itulah saya.

Jika ditanya juga apa yang saya mahukan pada 2011. Saya mahu menyemak semula kehidupan saya, merenung jauh dan memperbetulkan setiap kesilapan serta kelemahan. Saya mahu jadi yang terbaik sekurang-kurangnya pada diri saya, walaupun mungkin tidak untuk orang lain. Waktu yang pantas berlari itu kadangkala membuatkan kita lupa pada sejarah yang kita tinggalkan. Kita kadangkala seolah-olah lupa apa yang sepatutnya kita capai atau miliki. Percayalah, banyak yang kita tinggalkan dan tertinggal dalam hidup ini.

Mungkin kita merasakan kita sudah terbaik. Namun, jika kita merenung semula kehidupan ini, ada banyak pembetulan yang masih perlu kita lakukan. Berani?. Orang yang takut untuk berubah, hidupnya tidak akan ke mana-mana. Apa pun yang dilakukan, ia tidak boleh mengubah apa-apa.

Keberanian sebenar manusia terletak kepada keupayaannya mengubah sikapnya sendiri. Jika kita takut berubah, hidup kita sebenarnya jauh lebih gagal walaupun kita memiliki apa yang kita inginkan.

Saya benar-benar berharap untuk memiliki keberanian itu. Saya mahu buktikannya. Itu yang ada di hati saya.

Mudah-mudahan 2011 akan menjadi saya sebagai orang yang terbaik. Biar apa pun dikatakan orang, hanya keberanian yang mencerminkan kebijaksanaan. Kita akan lebih bertuah sebenarnya jika kita berubah untuk kebaikan diri sendiri, bukannya orang lain.

Semoga, saya berjaya.

Tiada ulasan: