Ahad, 3 April 2011

MENULIS KEMBALI .... ALAHAI

Assalamualaikum ...


Tiba-tiba seseorang yang saya tidak pernah terfikir akan membaca blog saya telah menegur, mengapa saya terlalu lama tidak mengemaskini blog saya. Seseorang yang baharu sahaja dikenali dan kebetulan pula "bertemu" di laman sosial facebook. Terdiam saya. Rupanya masih ada yang sudi membaca tulisan saya di sini. Alhamdulillah.


Saya pun tidak menjengah blog saya sudah agak lama. Teguran itu telah menyebabkan saya membukanya semula. Ya, memang betul. Agak lama saya tidak menulis.


Saya cuba untuk mengemaskini blog ini, namun malangnya kata laluannya pula hilang dari ingatan. Susah juga, kata hati saya. Namun, menganggap soalan daripada seoarang kawan tadi sebagai cabaran, saya gagahi fikiran untuk "mencari" kata laluan itu, dan akhirnya saya berjaya. Seronok sungguh!.


Terima kasih kepada yang membaca blog saya, dan berharap apa yang baik untuk dikutip, ambillah ia sebagai satu kebaikan atau kelebihan. Tegurlah jika ada kekurangan. Saya selalu berazam untuk menjadi manusia yang terbaik, dan teguran mungkin akan memberikan lebih bantuan untuk saya mencapai hal itu.


Sebenarnya, sejak kebelakangan ini, saya agak sibuk sedikit kerana sedang menyiapkan dua buah buku baharu. Sebuah buku biografi dan sebuah lagi novel cinta yang sedang cuba saya hasilkan. Mungkin disebabkan itulah, saya menjadi manusia yang alpa terhadap tanggungjawab untuk update blog sendiri. itu kelemahan saya dan saya berharap saya akan mengingati setiap teguran yang diberikan.


Saya berharap, saya dapat menyiapkan buku berkenaan dalam masa dua bulan lagi. Harapan itu amat menggunung. Di fikiran, ada beberapa buku yang mahu saya hasilkan, namun hambatan waktu pasti tidak memungkinkan saya menghasilkan buku berkenaan.


Novel cinta. Nah!, seorang kawan dengan sinis berkata, tak payah tulis pasal cinta-cintan lagi. Dah tua, kata dia. Walaupun kata-kata itu betul, ini adalah percubaan saya yang pertama untuk menghasilkan novel cinta. Saya semakin berani untuk menulis novel itu dan saya sudah terasa akan keseronokkannya.


Saya juga sedang "mengemaskini" bilik menulis saya di rumah. Sudah terlalu sesak dengan buku, fail dan bermacam-macam. Pening kepala dibuat.


Apa pun, saya gembira kerana dapat menyertai program mesra media bersama Petronas di Tasik Kenyir beberapa hari yang lalu. Acara santai yang menarik dan meninggalkan kesan yang mendalam. Ya, bukan semua orang tahu menghargai media dan usaha Petronas adalah sesuatu yang wajar diberikan pujian. Tahniah Petronas.


Tiada ulasan: