Rabu, 26 Oktober 2011

MENGAPA SAMPAI BEGITU.... OH UMNO.

Assalamualaikum.

Tersenyum saya membaca blog “Sanggah Tok Janggut” yang ditulis Mat Rafi Awang Kechil yang mengulas mengenai program Wacana Transformasi Politik, anjuran UMNO Bahagian Marang di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu beberapa hari lalu.

Blog itu dengan keras mengkritik Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah (Datuk Jai) dengan pelbagai andaian dan tuduhan tidak berasas sama sekali. Membaca tulisan Mat Rafi, saya tidak teragak-agak untuk menyatakan bahawa beliau bukan seorang yang hadir pada majlis tersebut dan ulasan itu dibuat berdasarkan cakap-cakap kedai kopi (atau mungkin di The Mall, Kuala Lumpur).

Sebelum saya menulis lebih jauh, sukacita saya ingin maklumkan bahawa apa yang akan saya tulis (mungkin jawab) mengenai kritikan Mat Rafi adalah kerana saya adalah seorang yang benar-benar hadir pada majlis tersebut dan mendengar sendiri ucapan Datuk Jai dari awal hinggalah akhir.

Walaupun saya tidaklah terlalu rapat dengan Datuk Jai, namun saya mengenali beliau dan saya fikir, saya lebih kenal Datuk Jai berbanding Mat Rafi sendiri.

Saya tidak faham, mengapa begitu keras kritikan dilemparkan kepada Datuk Jai kononnya kata Mat Rafi, Datuk Jai telah mendakwa mendapat arahan khusus dari pihak atasan untuk mengenalpasti calon-calon yang akan bertanding dan senarai calon-calon itu telah ada ditangannya. Tuduhan Mat Rafi ini amat berat kerana setahu saya, tiada dakwaan sedemikian telah dibuat Datuk Jai.

Tidak ada sama sekali kenyataan Datuk Jai seperti yang didakwa itu dan saya sangat terkejut dengan apa yang dibangkitkan kerana ia adalah sesuatu yang tidak masuk akal sama sekali.

Saya tidak tahu mengapa Mat Rafi cuba meletakkan Datuk Jai seperti budak hingusan yang seolah-olah tidak faham langsung “adat politik” sehingga tergamak menuduh Datuk Jai sedemikian rupa. Seolah-olah Datuk Jai ini bodoh sangat sehingga sanggup membuat kenyataan sedemikian.

Jika saya boleh rumuskan dengan kenyataan Mat Rafi itu, beliau mungkin terpedaya, terpengaruh atau terpancing oleh agenda politik individu tertentu di Terengganu yang mula takut dengan bayang-bayang sendiri sedangkan tidak ada apa-apa yang berlaku.

Bagi saya, kalau Datuk Jai benar-benar bukan Setiausaha Politik PM dan menyalahgunakan kedudukan sebagai Setiausaha Politik Datuk Seri Abdullah Mat Zin seperti yang didakwa Mat Rafi, PM Najib sudah tentu awal-awal lagi akan mengambil tindakan. Bukankah PM Najib itu sangat tegas dalam hal seperti itu. Jadi, mengapa diungkitkan hal-hal yang lebih bersifat datu serangan politik semata-mata.

Semua orang tahu bahawa DS Abdullah Mohd Zin adalah Penasihat Agama kepada PM tetapi beliau bukanlah bertaraf menteri seperti ketika Tan Sri Abdul Hamid Othman dahulu dan kerana itu secara logiknya, beliau tidak mempunyai seorang Setiausaha Politik. Perkara ini boleh disemak di pejabat PM sendiri. Jadi, di mana asasnya dakwaan tersebut.

Saya pelik, mengapa sampai ke tahap itu Datuk Jai hendak dipertikaikan hanya kerana beliau menyampaikan ucapan politik di Terengganu.

Saya anak Terengganu, saya bangga dengan anak Terengganu yang dipilih bekerja di Pejabat PM. Apa dosa dan salahnya Datuk Jai datang ke Terengganu, sebagai negerinya sendiri untuk menyampaikan ceramah politik. Nak harap puak UMNO Terengganu adakan program penerangan, sampai kiamatlah UMNO Terengganu akan terus kekal begini.

Untuk makluman Mat Rafi, kehadiran pada program tersebut sangat memberangsangkan. Kebetulan pula ia diadakan pada hari yang sama dengan satu perhimpunan raksasa Pas yang diadakan di Cendering. Ramai ahli, penyokong dan pendokong yang datang mendengar ceramah Datuk Jai kerana saya lihat mereka datang kerana mereka sayangkan UMNO, mereka ini perlukan momentum untuk UMNO bangkit dalam politik di Terengganu.

Gerakan penerangan UMNO Terengganu pada masa ini kosong. Tak ada apa pun. Nak serang PAS, jauh sekali. Jadi, bila ada penerangan politik, tak payahlah nak kecoh-kecoh dengan andaian itu dan ini sesama sendiri.

Apa yang Mat Rafi dengar mungkin datangnya dari seorang dua yang ada agenda jahat untuk jatuhkan Datuk Jai. Selalunya dalam sifir politik kotor UMNO, mereka akan memancung politik manusia yang diketahui berpotensi bertapak dalam parti. Sudahlah mereka itu bodoh, mereka mahu memancung manusia yang boleh membantu parti dan negeri.

Setahu saya, sejak Jai bekerja di Putrajaya, itulah kali pertama Datuk Jai datang berceramah di Terengganu tanpa apa-apa kepentingan pun. Saya tidak nampak Datuk Jai bercita-cita nak jadi YB, apatah nak jadi MB seperti yang didakwa Mat Rafi. Datuk Jai yang saya kenal adalah seorang yang tidak menyimpan cita-cita sebesar itu.

Malah saya berani katakan, Datuk Jai adalah seorang Setiausaha Politik yang bersih yang tak ada nak main projek ke apa. Kalau saya salah, Mat Rafi boleh perbetulkan.

Datuk Jai adalah seorang anak muda yang berketerampilan, beliau mempunyai ilmu agama yang bagus dan tidak salah kalau saya katakan bahawa PM Najib sepatutnya dah lama mengambil beliau sebagai pegawainya. Nak harapkan pemimpin UMNO yang ada nak berperang dengan Pas. Yang pergi masjid pun tak ramai, yang ada pengetahuan pun tidaklah ramai.

Orang UMNO semua gila nak jadi calon, tapi tak pernah nak cerminkan diri. Mereka tidak tahu keupayaan diri kerana apa yang penting, dia nak jadi calon. UMNO memerlukan politikus yang ada latar belakang agama yang kuat, bukan sekadar menjadi pekerja kepada rakyat tetapi mempunyai senjata untuk “berperang” dengan musuh mereka di DUN atau Parlimen.

Saya hairan, mengapa setiap kali ada pemimpin dari Terengganu yang ingin naik, ada saja yang tidak kena. Mengapalah puak UMNO ini tidak pernah nak sedar diri, saya pun tak tahu.

Kepada Mat Rafi, jika anda seorang yang bertanggungjawab, anda harus memperbetulkan tulisan anda. Sebagai anak Terengganu, saya mahu anda membantu bukan menghancurkan. Kita semua sayangkan UMNO dan buktikan kasih sayang UMNO.

Saya bukan menulis untuk mempertahankan Datuk Jai atau sesiapa tetapi saya menulis ini ata dasar saya sebagai seorang yang benar-benar hadir pada majlis tersebut dan mendengar setiap patah perkataan yang keluar dari mulut Datuk Jai.

Jika saya boleh simpulkan, apa yang Mat Rafi tulis itu mungkin beliau dengar dari manusia yang berangan-angan nak jadi YB. Mereka mungkin melihat Datuk Jai adalah ancaman kepada mereka dan kerana itu, mereka telah memulakan propaganda sedemikian.

Inilah masalah UMNO, mereka suka bermusuh sesama sendiri sehingga lupa kepada musuh sebenar. Saya cuma bimbang bahawa rakyat semakin meluat dengan pemimpin UMNO yang akhirnya akan diterjemahkan pada PRU ke-13 nanti.


Tiada ulasan: